HOME

Thursday 26 May 2016

APA ITU SEKULARISME?

Sekularisme merupakan satu falsafah etika yang menekankan pandangan dunia yang berasaskan kepercayaan tentang semua kewujudan dan kebenaran dunia fizikal atau alam semula jadi sahaja. Oleh sebab itu, fahaman ini menekankan kaedah saintifik dan menolak ilmu wahyu serta realiti-realiti metafizik. Bagi mereka yang mengamalkan fahaman sekular ini, mereka tidak mempercayai hari akhirat, syurga, neraka serta menghapuskan kepercayaan kepada tuhan. Menurut pandangan Islam, sekularisme juga memperjuangkan hak untuk bebas dari peraturan dan ajaran agama serta ia juga tidak memberi keistimewaan terhadap mana-mana agama. Dengan kata lain, sekularisme merujuk kepada kepercayaan bahawa kegiatan dan keputusan yang dibuat oleh manusia harus berdasarkan bukti dan fakta bukannya pengaruh agama.

Fahaman sekularisme ini mempunyai beberapa aspek yang akan dibincangkan dengan lebih mendalam oleh penulis antaranya dari sudut agama, pendidikan, moral, ekspresi seksual, dan ekonomi.

Sekularisme Berdasarkan Pandangan Islam

SUDUT MORAL

Matlamat utama manusia adalah kebahagiaan dan menjalani kehidupan yang baik. Maka Agamalah yang mempercepatkan usaha untuk meningkatkan kegembiraan hidup. Namun, menurut pandangan Islam sekularisme telah mengubah etika disebabkan keperluan hidup manusia. Sebagai contoh, pakaian dan pergaulan dalam majlis ceramah agama cukup Islamik, tetapi dalam konsert hiburan atau pesta kebudayaan langsung tidak menepati ciri-ciri keagamaan. Cara hidup Islam tidak wujud dalam aktiviti tersebut atau wujud dalam skop yang lebih kecil seperti pembacaan doa sahaja.

SUDUT POLITIK

Perlembagaan Malaysia merupakan acuan daripada barat yang lebih mengutamakan nafsu dan kebendaan. Golongan agama dipinggirkan daripada memberi pandangan mengenai hal-hal berkaitan pentadbiran negara. Pengasingan ulama di masjid dan ahli politik di parlimen jelas menunjukkan ideologi sekularisme ini menolak fahaman Islam yang dulunya telah ditetapkan untuk merangkumi keseluruhan aspek kehidupan. Parti politik telah meletakkan masyarakat di Malaysia terlalu individualistik dan hidup mementingkan diri. Hal ini disebabkan oleh desakan ekonomi dan taraf hidup. Sebagai contoh, isu 2.6 Bilion yang sungguh hangat diperkatakan dalam negara sekarang yang melibatkan Perdana Menteri. Namun sejauh manakah kebenaran isu tersebut?

SUDUT EKONOMI

Wujud sistem ekonomi kapitalis yang mengagungkan riba. Sistem ini bermatlamatkan kekayaan dan material tanpa memikirkan halal haram disebabkan kebebasan individu untuk keuntungan peribadi. Manusia berlumba-lumba untuk mengumpul harta kekayaan sehingga sanggup menindas dan menipu orang lain. Pada zaman ini segala-galanya memerlukan duit, “No money, No Talk” di mana ia diamalkan oleh masyarakat terutamanya dalam sistem ekonomi kapitalis ini. Terdapat juga sistem perbankan yang berteraskan riba dan aspek pelaburan dan perniagaan, arak dan judi masih terus dibiarkan dan diluluskan permitnya. Jika negara menghadapi masalah ekonomi, cara negara menghadapi masalah ekonomi, cara penyelesaiannya adalah dari sudut fakta ekonomi yang  menjurus kepada soal kebendaan  dan bertentangan prinsip Islam.

 SUDUT PENDIDIKAN

Mengapa sistem pendidikan di Malaysia lebih mementingkan pelajar-pelajar aliran Sains berbanding pelajar aliran agama? Mereka banyak diberi keistimewaan seperti biasiswa, peluang pekerjaan dan sebagainya. Mengapa sikap mentaliti masyarakat pula memandang bahawa pelajar agama kurang masa depan berbanding pelajar aliran Sains? Sedangkan kita  tahu bahawa, pendidikan bermatlamat untuk memberi ilmu pengetahuan dan pendedahan kepada alam pekerjaan. Benarkah, pengajian subjek-subjek umum di sekolah telah digubal menggunakan idea-idea Barat yang tidak disepadukan dengan pemikiran Islam? Saya berpendapat bahawa fahaman sekularisme ini ingin mendidik para pelajar ke arah material dan keduniaan kerana setiap proses pembelajaran akan tertumpu pada hal duniawi contohnya dalam subjek sejarah di mana teori zaman prasejarah amat bertentangan dengan teori tamadun Islam. Namun, pendidikan di Malaysia juga masih berada pada tahap positif kerana terdapat subjek pendidikan Islam dan Moral yang menerapkan nilai-nilai murni yang berlandaskan syariat Islam.


Menurut pandangan saya, fahaman sekularisme ini wujud di merata tempat dan negara. Sekularisme bukan sahaja dilabelkan untuk orang yang tidak mempercayai tuhan atau tiada agama (Atheist) tetapi keadaan sekarang yang terdedah dengan media sosial amat mudah untuk mengubah cara hidup yang bertentangan dengan syariat Islam tanpa disedari. Kita faham bahawa sekularisme susah untuk dibuang tapi masih ada masa untuk berusaha hindarinya.

Setakat inilah coretan saya kali ini dan memohon maaf jika ada kesalahan dalam penulisan ini kerana kefahaman yang berbeza terhadap sekularisme ini. Jika ada penambahan dan pembetulan terhadap penulisan ini, silalah tinggalkan komen anda. Jumpa lagi!!






No comments:

Post a Comment